Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JANDA 18 TAHUN MERAGUT UNTUK BELI DADAH


Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang juga ibu tunggal nekad meragut beg duit seorang wanita di depan sebuah pasar raya di bandar ini, petang kelmarin, semata-mata mahu membeli dadah.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 59 tahun berjalan seorang diri selepas membeli-belah sebelum diragut dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata tindakan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan pasar raya berkenaan, suspek kemudian melarikan diri namun jeritan mangsa didengari orang awam yang terus mengejar peragut terbabit.

“Pada masa sama, orang ramai memaklumkan kejadian kepada anggota MPV yang melakukan rondaan di lokasi berhampiran,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya, semalam.

Suspek ditahan dan menurut Zulkefly, siasatan mendapati suspek ibu tunggal dan mempunyai seorang anak berusia setahun.

Ketika melakukan jenayah itu, Zulkefly berkata, suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine.

“Ujian air kencing mengesahkan suspek berada di bawah pengaruh dadah terbabit, beg duit mangsa bersama wang tunai RM120, kad kredit dan kad pengenalan ditemui semula.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu dipercayai meragut bagi mendapatkan bekalan dadah untuk kegunaan sendiri,” katanya.

myMetro

No comments:

Post a Comment